Raja Petra didakwa terbit artikel menghasut
Raja Petra didakwa terbit artikel menghasut
PETALING JAYA 6 Mei - Pengendali dan editor laman blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin dituduh di bawah Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerbitkan artikel berkaitan pembunuhan wanita Mongolia, Atantuya Shaariibuu di laman blognya, dua minggu lalu.
Raja Petra yang merupakan pengendali blog pertama didakwa atas kesalahan seumpama itu dilihat tenang sepanjang prosiding serta mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurmala Salim.
Mengikut pertuduhan, Raja Petra didakwa menerbitkan satu artikel bertajuk ``Let’s Send The Altantuya Murderers to Hell’’ yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web Malaysia-Today yang mempunyai alamat web http://www.malaysia-today.net.
Raja Petra didakwa di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Nurmala membenarkan Raja Petra dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 6 Oktober depan. Bagaimanapun, Raja Petra memilih untuk tidak membayar wang ikat jamin dan dia telah dibawa ke Penjara Sungai Buloh pada kira-kira pukul 3.15 petang ini. - Utusan.
Labels: Berita, Politik Malaysia
No Comments for this post
Leave a Reply